kenapa daging babi itu diharamkan dalam islam

akibat makan babi..

Monday, September 7, 2009

Isu Bahasa


Isu bahasa dan sekolah adalah salah satu isu utama bagi banyak kumpulan politik di Malaysia. UMNO berjaya menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sekolah kebangsaan tetapi sekolah swasta serta sekolah vernakular (dikenali sebagai Sekolah Jenis Kebangsaan) dibenarkan menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar. Sehingga tahun 1982 terdapat juga Sekolah Inggeris yang kemudiannya menjadi sekolah kebangsaan biasa, dan kebanyakannya terdapat di kawasan bandar seperti Bukit Bintang Girls’ School, Bukit Nanas Convent, Methodist Boys’ School, Methodist Girls’ School, Peel Road Convent, Pudu English Secondary School, St John’s Institution, St Mary’s School dan Victoria Institution. Majoriti sekolah berkenaan diasaskan oleh mubaligh Kristian (Katolik, Methodist, Anglican, Brethren). Selepas rusuhan kaum di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969, sekolah yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar mula ditukarkan kepada sekolah kebangsaan bermula Januari 1970.


Pada tahun 2002, kerajaan mengumumkan pengajaran subjek Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris bermula tahun 2003, untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan di dalam arus globalisasi. Pelaksanaannya membuka jalan kepada pendidikan medium bercampur.

Pada tahun 2004, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa hanya 2% pelajar Cina di sekolah kebangsaan. Wakil pembangkang, Lim Guan Eng juga menyatakan bahawa 60,000 pelajar bukan Cina belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina.

Pada hari berikutnya, Perdana Menteri membuat kenyataan melalui jawapan bertulis kepada soalan oleh Dr Tan Kee Kwong (seorang lagi wakil dari pakatan yang sama)bahawa dasar membenarkan sekolah vernakular akan dikaji semula. Kenyataan khususnya adalah "pelbagai pendekatan telah diambil bagi menangani isu ini termasuklah merujuk semula sistem pendidikan yang membenarkan pelbagai aliran untuk digunakan di negara ini"[1]. Beliau bercakap mengenai isu polarisasi kaum di sekolah.

Pada April 2005, dalam satu cubaan untuk menjadikan sekolah kebangsaan lebih kompetitif dan menjadi pilihan utama pelajar bukan Melayu, kerajaan telah mengumumkan bahawa semua sekolah kebangsaan akan mula mengajar subjek Bahasa Cina dan Bahasa Tamil, bukan sebagai bahasa pengantar tetapi sebagai subjek elektif.

kata-kata hikmah

Sutera sungkit panjang sembilan,
Panjang sutera hingga kepalanya;
Tuan laksana permata intan,
Saya menumpang akan cahayanya.
Wilkinson & Winstedt: 767
Mula Berpantun



    Buah ara, batang dibantun,
    Mari dibantun dengan parang.
    Hai saudara dengarlah pantun,
    Pantun tidak mengata orang.
      Mari dibantun dengan parang,
      Berangan besar di dalam padi.
      Pantun tidak mengata orang,
      Janganlah sak di dalam hati.

      Berangan besar di dalam padi,
      Rumpun buluh dibuat pagar.
      Jangan sak di dalam hati,
      Maklum pantun saya belajar.

      Kita menari keluar bilik,
      Sebarang tari kita tarikan;
      Kita bernyanyi adik beradik,
      Sebarang nyanyi kita nyanyikan.

      Cempedak di luar pagar,
      Tarik galah tolong jolokkan;
      Saya budak baharu belajar,
      Kalau salah tolong tunjukkan.
    Orang selesema sakit berhingus,
    Lubang hidung rasa terkembus;
    Ibarat seperti telur kemungkus,
    Benci nak pandang rasa cemus.

    Monday, August 24, 2009

    Utamakan kepentingan rakyat majoriti tangani isu PPSMI

    JULY 18 — Keputusan Kabinet memansuhkan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada 8 Julai lalu menimbulkan pelbagai reaksi.
    Realitinya ramai yang menyokong langkah kerajaan itu tetapi sokongan mereka tidak nampak ketara. Sebaliknya yang menonjol ialah golongan yang menentang. Mereka ini mempunyai capaian kepada teknologi terutama media dan Internet.
    PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 terpaksa dimansuhkan ekoran kemerosotan pretasi terutama di kalangan pelajar luar bandar.
    Kajian yang dibuat membuktikan berlaku kes-kes keciciran dalam dua mata pelajaran itu sejak PPSMI dilaksanakan.
    Niat ketika PPSMI dilaksanakan memang baik. Tetapi pelaksanaannya tidak seperti dirancang terutama apabila tenaga pengajar tidak mencukupi hingga terjadi kes guru tangkap muat dan tidak ada kemahiran bahasa Inggeris untuk mengajar dua mata pelajaran itu.
    Seperti biasa, sekolah-sekolah di bandar-bandar besar tidak ada masalah. Jadi masalah tidak timbul. Perjalanan PPSMI nampak sempurna.
    Namun tidak ramai yang sedar penderitaan pelajar luar bandar sejak enam tahun pelaksanaan PPSMI ini.
    Dengan segala kekurangan, mereka langsung tidak diberi pilihan. Malah dipaksa menelan segala kepahitan pelaksanaan PPSMI. Hasilnya prestasi merudum.
    Seperti biasa, tindakan kerajaan memansuhkan PPSMI ini menimbulkan rasa kurang senang termasuk cakap-cakap bahawa ia langkah ke belakang.
    Hingga ada lakaran kartun yang menyindir (kalau pun tidak menghina) terutama apabila ia membabitkan bahasa Melayu.
    Ketika segala apa yang berkaitan Melayu di negara ini dikatakan perkauman atau rasis, maka sudah tentu mengembalikan pengajaran sains dan matematik ke bahasa kebangsaan akan menimbulkan rasa kurang senang.
    Sedangkan jika dibuka mata dan minda seluas-luasnya, ia langsung tidak ada kena mengena dengan memartabat atau memaksa kaum lain menggunakan bahasa Melayu. Kerana di sekolah jenis kebangsaan, mereka boleh guna bahasa ibunda masing-masing.
    Pengajaran dua mata pelajaran itu dikembalikan ke bahasa kebangsaan kerana ada kebimbangan berikutan ramai pelajar Melayu semakin tercicir dan ketinggalan.
    Malah tokoh pendidik, Prof. Diraja Ungku Aziz sendiri mengakui, bagi memastikan sesuatu bangsa itu menguasai sains dan matematik, ia perlu diajar dalam bahasa ibunda masing-masing. Ini bagi memastikan ia lebih dekat dengan mereka.
    Perkara itu dibuktikan oleh Jerman dan Perancis. Yang paling dekat dengan kita ialah Jepun dan Korea Selatan.
    Lagi pula jika setakat mengembalikan pengajaran kedua-duanya ke bahasa Melayu ia tidak banyak membantu usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan itu.
    Sedangkan jika lihat kepada pengumuman 8 Julai lalu, kerajaan menyediakan peruntukan yang cukup besar untuk 'memartabatkan' bahasa Inggeris. Oleh itu tidak sepatutnya timbul cakap-cakap atau undian di blog atau laman web mengenai perkara ini.
    Lagi pun segala undian itu tidak menggambarkan aspirasi rakyat secara keseluruhannya.
    Ia hanya suara segelintir masyarakat elit yang mana bahasa dan budaya Inggeris merupakan makanan harian mereka.
    Sebab itu undian termasuk di laman web berita tidak boleh dijadikan ukuran bahawa rakyat negara ini menolak pengajaran sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan.
    Jumlah yang mengundi juga kecil. Tidak sampai satu peratus daripada 26
    juta rakyat negara ini.
    Sedangkan kerajaan membuat keputusan untuk memansuhkan PPSMI selepas menjalankan satu kajian menyeluruh.
    Kita bukan mahu mempertikai undian yang dilakukan di blog dan laman web. Tetapi ia tidak mencerminkan kehendak rakyat keseluruhan.
    Tidak mungkin kita kena ketepikan kepentingan kelompok yang lebih besar hanya kerana mahu memenuhi undian oleh kumpulan elit yang kecil dan ada kepentingan ini.
    Tidakkah kita sedar bahawa penoreh getah di Baling, pesawah di Tobiar, nelayan di Semporna dan penghuni rumah panjang di Batang Ai mungkin tidak mempunyai kesempatan mengundi di Internet.
    Mereka ini bukan sekadar tidak ada akses kepada teknologi maklumat, perkataan Internet dan blog pun asing bagi mereka.
    Sebab itu biarpun jumlah yang mengundi dan menentang pemansuhan PPSMI di Internet mencapai angka ratusan ribu, ia tetap mewakili segelintir kecil rakyat.
    Kementerian Pelajaran tidak perlu melatah dengan penentangan tersebut. Ini kerana apa yang diputuskan itu pasti memberi kebaikan kepada ratusan ribu pelajar bukan sahaja Melayu tetapi juga Cina, India, Kadazan, Iban, Siam dan sebagainya di luar bandar.
    Perlu diingat suara-suara tidak puas hati yang disalurkan melalui undian dalam blog hanya mewakili kelompok minoriti yang menganggap bahasa kebangsaan tidak ada standard untuk dipertuturkan oleh anak-anak mereka apatah lagi mempelajarinya di sekolah.
    Jika golongan berkenaan dimasukkan ke dalam kumpulan pemikir untuk menentukan kedudukan perkara ini sudah tentu mereka mahukan PPSMI.
    Sebabnya ialah ruang lingkup dan rujukan mereka sempit dan terhad kepada kelompok mereka sahaja.
    Sebab itu kementerian pelajaran kena berhati-hati. Jangan terperangkap dengan undian atau pandangan yang hanya untuk kepentingan kelompok kecil ini.
    Tanya juga pandangan golongan seperti guru-guru seperti dari Sekolah Menengah Kebangsaan Gulau yang saban hari terpaksa bertungkus lumus dan berhempas pulas memastikan pelajar mereka faham apa yang diajar.
    Selama pengalaman mereka yang terpaksa mencampuradukkan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu ketika pelaksanaan PPSMI demi memastikan anak-anak murid faham dan mampu menjawab soalan peperiksaan. — Utusan

    Friday, August 21, 2009

    DULU, KINI, AKAN DATANG...

    Dulu..
    Bila semangat kau berkobar-kobar,
    Bila kau mula merangkak-rangkak,
    Bila kau agresif tiba-tiba,
    Di dada...
    Ada pendita yang menyuluh,
    Ada pendekar yang mengajar,
    Ada datuk yang membimbing,
    Ada al-Quran yang mengarah,

    Kini..
    Setelah kau berjaya,
    Setelah kau di atas,
    Setelah kau dikurniai pangkat,
    Setelah keselesaan telah kau kecapi,
    Kau sombong!
    Kau bongkak!
    Kau memilih bulu!
    Kau menjengkilkan!
    Walaupun kau banyak berjasa,
    Kepada anak bangsa tercinta,
    Pada tanah yang dipijak,
    Pada langit yang dijunjung,
    Oh itu sudah sememangnya tugas mu!

    Kau marah bila ditegur,
    Kau bingit bila ditekan,
    Kau seperti singa bila bengis,
    Kau menjadi harimau bila garang,
    Ingatlah!
    Tak selamanya cerah itu menjelma,
    Tak selamanya kaukan berbangga,
    Tak selamanya kaukan dihormati,
    Tak selamanya kaukan disenangi,

    Jika hari ini kau buat orang,
    Mana tahu, esok lusa orang buat kau,
    Jika hari ni kau di atas,
    Mana tahu, esok lusa kau dibawah,
    Jika hari ni orang menjengkelkan kau,
    Mana tahu, esok lusa kau menjengkelkan orang,
    Jangan ditanya kemana perginya kemesraan,
    Jangan ditanya kemana perginya kawan-kawan,
    Jangan ditanya kemana perginya pangkat,
    Jangan ditanya kemana perginya ketenangan
    Kerana, engkau sendiri yang mengotorkan!